Saturday, 26 November 2011

Teori Kecerdasan Pelbagai

Apakah yang anda peroleh dari Teori Kecerdasan Pelbagai ?

Latar belakang Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences) yang diasaskan oleh Howard Gardner (1983) menyatakan bahawa manusia mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan (intelligences): merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat atau kemahiran yang wujud secara semulajadi. Jenis kecerdasan yang dikenal pasti adalah visual-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis.Gardner menjelaskan bahawa setiap kecerdasan adalah berasingan dan tidak saling bergantung - seseorang mungkin lemah dalam sesuatu bidang kemahiran tetapi cemerlang dalam domain (bidang kecerdasan) yang lain. Menurut beliau lagi, setiap individu mempunyai kelapan-lapan kecerdasan tetapi pada darjah atau kadar yang berbeza-beza dari segi kekuatan dan kemahiran. Kecerdasan tersebut boleh dikembangkan menerusi pendidikan, pengalaman dan persekitaran.

          Teori IQ (berasaskan kepada kecerdasan logik-matematik dan verbal-linguistik) pula mengandaikan bahawa potensi intelek seorang individu itu adalah tetap, ditentukan secara genetik dan boleh diukur pada peringkat usia muda serta akan menentukan potensi individu manusia. Gardner pula melihat fungsi kognitif dalam pandangan yang lebih luas, bertentangan dengan definisi kecerdasan mengikut Teori IQ.

          Gardner telah mendefinisikan kecerdasan sebagai satu set kemahiran yang membolehkan seseorang itu menyelesaikan masalah atau menghasilkan keluaran atau perkhidmatan yang bernilai kepada budayanya. Oleh yang demikian, teori Gardner telah menyediakan rangka kerja untuk satu perubahan (metamophosis) pendidikan dalam semua peringkat pembelajaran.

Rumusan Definisi Teori Kecerdasan Pelbagai

1.       Satu set kemahiran yang membolehkan individu menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi dalam kehidupannya.
2.       Kebolehan mencipta barangan atau perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan budayanya.
3.       Potensi mencari atau mencipta masalah yang membolehkan individu memperolehi pengetahuan baru.
Tanggapan salah berkenaan kecerdasan
1.       Kecerdasan adalah tetap.
2.       Setiap individu mempunyai hanya satu jenis kecerdasan sahaja.
Fakta sebenar mengenai kecerdasan
1.       Kecerdasan boleh dipelajari dan sentiasa berubah sepanjang hayat.
2.       Setiap individu mempunyai sekurang-kurangya lapan jenis kecerdasan kerana otak manusia adalah unik sebagaimana uniknya garis-garis urat pada ibu jari manusia.

Prinsip-Prinsip Teori Kecerdasan Pelbagai

1.       Terdapat pelbagai kecerdasan dalam diri setiap individu.
2.       Setiap individu mempunyai adunan kecerdasan yang unik dan sentiasa berubah. 
3.       Kecerdasan dalam diri setiap individu dan juga di antara individu itu adalah berbeza dari segi perkembangannya.
4.       Semua kecerdasan adalah bersifat dinamik. 
5.       Kecerdasan Pelbagai boleh dikenal pasti dan dinyatakan. 
6.       Setiap individu berhak mendapat peluang untuk mengenal dan membangunkan kepelbagaian kecerdasannya.
7.       Penggunaan satu daripada kecerdasan boleh digunakan untuk meningkatkan kecerdasan yang lain. 
8.       Latar belakang peribadi adalah faktor penting dalam membentuk pengetahuan,kepercayaan dan kemahiran dalam semua kecerdasan.

Penerangan Teori
Setiap manusia mempunyai kesemua lapan kecerdasan.
·         Dalam diri setiap individu, kelapan-lapan kecerdasan berfungsi bersama dalam cara yang unik. Ada yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi dalam hampir kesemua lapan kecerdasan dan sebaliknya bagi sesetengah orang. Kebanyakan daripada kita terletak di tengah-tengah dengan kekuatan dalam beberapa jenis kecerdasan, dan kurang terbentuk dalam satu atau dua jenis kecerdasan.
Kecerdasan boleh dibangunkan. 
·         Gardner menyatakan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan membangunkan kesemua kecerdasannya dengan adanya galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.
Kecerdasan berfungsi bersama dengan cara yang kompleks.
·         Tidak ada kecerdasan yang berfungsi secara bersendirian. Kecerdasan berinteraksi dan berkait    dengan satu sama lain.
Terdapat pelbagai cara untuk menjadi cerdas.
·         Tidak terdapat satu set kelebihan seseorang mesti perolehi untuk dianggap sebagai cerdas. Ada orang yang tidak pandai menari tetapi sungguh cekap dalam membina model. Kedua-dua kecerdasan ini memerlukan kecerdasan kinestetik.


Verbal-Linguistik

Kebolehan menggunakan kata-kata secara berkesan dalam lisan dan penulisan. Seseorang dengan kecerdasan ini sensitif kepada makna perkataan dan mahir memanipulasinya. Mereka juga boleh berkomunikasi secara berkesan melalui aktiviti mendengar, bertutur, membaca, menulis dan   menghubungkait. Mereka juga peka terhadap pelbagai fungsi bahasa terutama dari segi kebolehannya untuk merangsang emosi.Cara belajar yang paling berkesan bagi kumpulan ini adalah dengan menggunakan stesen pembelajaran dan melalui pengajaran serta penerangan lisan.Penyair, penulis, pemberita, penceramah, peguam, pengacara dan ahli politik mempunyai kecerdasan verbal-linguistik

Logik-Matematik

Kebolehan menaakul, menyelesaikan masalah kompleks, membuat perkaitan seperti suka menyoal, kritis, cekap membuat pengiraan, boleh membuat perbandingan, cekap menyelesaikan masalah berkaitan nombor dan menggunakan komputer. Kecerdasan ini menggabungkan kedua-dua kebolehan matematik dan saintifik. Ahli matematik, contohnya gemar menyelesaikan masalah yang abstrak dan banyak menggunakan penaakulan. Ahli sains, walau bagaimana pun, didorong dengan keinginan menerangkan alam fizikal yang nyata.Kumpulan ini belajar dengan lebih berkesan melalui kaedah penyelesaian masalah, inkuiri penemuan dan pembelajaran koperatif. Ahli matematik, jurutera, ahli fizik, penyelidik dan pengaturcara komputer menunjukkan darjah kecerdasan logikal-matematik yang tinggi.

Visual-Ruang

Kebolehan mengesan dan menggambarkan bentuk, ruang, warna dan garisan, termasuklah kebolehan mempersembahkan idea visual dan ruang secara grafik. Seorang yang mempuyai kecerdasan ini boleh membentuk gambaran dalam minda mereka dan melukisnya. Mereka juga berkebolehan dalam bidang seni dan kreatif menggunakan warna, membaca peta dan mempunyai daya imaginasi yang kuat. Mereka belajar dengan berkesan melalui tunjuk cara, video dan gambar rajah serta boleh memberi sumbangan kepada projek kumpulan melalui carta dan gambarajah. Pelukis, pelayar, jurutera, pakar bedah, arkitek, pengukir dan pereka grafik mempunyai kecerdasan visual-ruang yang tinggi.

Kinestetik

Kebolehan menggunakan badan untuk menyatakan idea, perasaan dan untuk menyelesaikan masalah termasuklah kemahiran fizikal seperti koordinasi, fleksibiliti, kepantasan dan keseimbangan. Seseorang yang mempunyai kecerdasan ini mahir dalam memanupulasi objek dan aktiviti yang melibatkan   kemahiran motor halus dan kasar. Mereka gemar aktiviti fizikal seperti menari, bermain dan bersukan serta cekap dalam aktiviti menggunakan kemahiran motor. Mereka berkebolehan untuk belajar melalui perbuatan seperti simulasi, permainan, main peranan dan membina model. Pelakon, pereka/pencipta, penari, mekanik, atlit dan pelumba kereta mempunyai kecerdasan kinestetik.

Muzik

Kebolehan mengesan ritma, nada dan melodi, termasuklah kemahiran mengenal lagu dan mengubah tempo dan irama dalam melodi yang mudah. Seseorang yang mempunyai kecerdasan ini juga sensitif kepada bunyi seperti   suara manusia dan alat muzik. Semua orang mempunyai kecerdasan muzik tetapi pada darjah yang berbeza. Ada yang lebih berkemahiran daripada yang lain. Walau apa pun tahap bakat, kita semua mempunyai kecerdasan untuk menikmati dan menghayati pengalaman muzik. Murid yang mempunyai kecerdasan muzik yang tinggi lebih gemar belajar melalui pengajaran lisan dan suka melakukan aktiviti jenis tarian, gimnastik serta berlatarkan muzik.Penyanyi, penggubah lagu, pemain alat muzik, konduktor muzik dan komposer lagu mempunyai kecerdasan muzik yang tinggi.

Interpersonal
Kebolehan memahami perasaan, motivasi, tabiat serta hasrat orang lain. Mereka yang mempunyai kecerdasan interpersonal boleh bekerjasama dalam kumpulan serta berkomunikasi secara lisan atau tanpa lisan dengan orang lain. Pada tahap yang mudah kecerdasan ini termasuklah kebolehan seorang kanak-kanak mengenal dan sensitif kepada 'mood' orang dewasa sekelilingnya. Kemahiran interpersonal yang lebih kompleks adalah kebolehan   orang dewasa membaca hasrat orang lain walaupun secara tersirat. Murid-murid yang mempunyai kecerdasan ini akan belajar dengan lebih berkesan melalui pembelajaran kooperatif dan pengajaran rakan sebaya serta penglibatan dalam perbincangan kelas. Mereka yang mempunyai kecerdasan interpersonal yang tinggi termasuklah pemimpin agama dan politik, guru, pensyarah, jurujual, kaunselor, doktor, jururawat dan pekerja sosial.

Intrapersonal
Kebolehan memahami diri sendiri dari segi kekuatan, kelemahan, hasrat dan keinginan termasuklah kemahiran membandingkan diri sendiri dengan orang lain dan mengetahui bagaimana mengawal perasaan. Mereka yang mempunyai kecerdasan ini mempunyai keyakinan diri yang tinggi terhadap kebolehan diri sendiri, mempunyai pegangan dan prinsip serta azam yang kuat dan boleh berdikari. Mereka juga boleh memahami perasaan orang lain dan mempunyai daya tumpuan dan refleksi yang tinggi. Mereka lebih suka belajar bersendirian di perpustakaan atau di stesen-stesen pembelajaran dan berkebolehan membuat laporan jurnal yang baik. Contoh-contoh kecerdasan intrapersonal yang tinggi termasuklah penulis novel, ahli psikologi, tok guru dan ahli falsafah.

Naturalis
Kebolehan mengenal , mengklasifikasi dan menghargai tumbuh-tumbuhan, bahan galian dan haiwan termasuk batu-batan dan rumput rampai serta semua jenis flora dan fauna. Mereka yang mempunyai kecerdasan ini juga berkebolehan melihat perhubungan dan polar yang rapat antara alam tumbuhan dan antara kehidupan haiwan.. Murid yang mempunyai kecerdasan naturalis belajar dengan lebih berkesan melalui aktiviti luar kelas. Ahli biologi, zoologi, petani,doktor haiwan, nelayan, pengkaji bintang, pendaki gunung, ahli ekologi dan aktivis persekitaran mempunyai kecerdasan naturalis yang tinggi.

Apakah pentingnya teori ini kepada pendidikan ?

Guru boleh membawa perubahan dalam pembelajaran murid
Ramai murid yang pergi ke sekolah tetapi hakikat sebenarnya mereka tidak belajar. Murid-murid ini telah dilabelkan sebagai murid yang bermasalah, berpencapaian rendah dan tidak bermotivasi. Guru telah meletakkan harapan yang rendah terhadap mereka maka ini menyebabkan harga diri mereka menurun dan masalah disiplin meningkat. Ramai murid yang berbakat dan 'gifted' juga kurang bermotivasi untuk ke sekolah. Senario ini wujud kerana fokus sistem persekolahan kita lebih tertumpu kepada dua kecerdasan sahaja; iaitu verbal-linguistik dan logik-matematik. Kebanyakan guru tidak menghargai kepelbagaian pelajar dan tidak merancang pengajaran mereka mengikut kesemua kecerdasan atau mana-mana bidang kecerdasan khusus yang ada pada murid mereka. Maka dengan itu, laman web ini dibentuk untuk membantu para guru memperbetulkan senario tersebut dan membawa bersama perubahan yang menggabungkan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran.

Guru boleh membawa perubahan dalam pembelajaran murid
      Ramai murid yang pergi ke sekolah tetapi hakikat sebenarnya mereka tidak belajar. Murid-murid ini telah dilabelkan sebagai murid yang bermasalah, berpencapaian rendah dan tidak bermotivasi. Guru telah meletakkan harapan yang rendah terhadap mereka maka ini menyebabkan harga diri mereka menurun dan masalah disiplin meningkat. Ramai murid yang berbakat dan 'gifted' juga kurang bermotivasi untuk ke sekolah. Senario ini wujud kerana fokus sistem persekolahan kita lebih tertumpu kepada dua kecerdasan sahaja; iaitu verbal-linguistik dan logik-matematik. Kebanyakan guru tidak menghargai kepelbagaian pelajar dan tidak merancang pengajaran mereka mengikut kesemua kecerdasan atau mana-mana bidang kecerdasan khusus yang ada pada murid mereka. Maka dengan itu, laman web ini dibentuk untuk membantu para guru memperbetulkan senario tersebut dan membawa bersama perubahan yang menggabungkan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran.

HASIL KUALITATIF DAN KUANTITATIF DARI KELAS YANG MENGAMALKAN TEORI KECERDASAN PELABAGAI DALAM KELAS
Pembelajaran menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan jika guru menyepadukan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran mereka . Pengajaran melibatkan penggunaan kelapan-lapan kecerdasan. Dari tinjauan yang dibuat ke beberapa buah sekolah di Amerika Syarikat yang mengamalkan kecerdasan pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran beberapa hasil kualitatif dan kuantitatif yang menakjubkan dapat dicapai.
1.       Pembelajaran menyeronokkan. Murid dan guru berminat untuk ke sekolah dan masalah ponteng kelas berkurangan.
2.       Terdapat pencepatan pembelajaran (accelerated learning) berbanding dengan pendekatan pengajaran tradisional. Masa mengajar di dalam kelas dapat dikurangkan dan semua pelajar menunjukkan prestasi yang baik dalam semua mata pelajaran.
3.       Skor pencapaian meningkat walau pun dalam ujian setara seperti dalam kes sebuah sekolah di Chicago di mana skor dalam ujian membaca meningkat sebanyak 103 % dalam setahun.
4.       Harga diri murid dan morale sekolah menunjukkan perubahan positif. Kes salah laku pelajar banyak dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.
5.       Pelajar pendidikan khas dan pelajar lembam menunjukkan peningkatan dalam pencapaian mereka dan dapat mengembangkan strategi pembelajaran yang unik untuk kejayaan dalam kelas

Bahan Bacaan tambahan tentang Teori Kecerdasan Pelbagai.
http://www.harding.edu/~cbr/midemo/mifirst.html
Menerusi laman-web ini anda akan diberi maklumat tentang definisi kecerdasan pelbagai, kriteria dan prinsip kecerdasan pelbagai. Selain itu, laman-web ini turut menjelaskan tentang 8 kecerdasan yang dikenal pasti.
http://www.rspublishing.com/Multiple%20Intelligences.html
Laman ini menjelaskan tentang teori yang diperkenalkan oleh Howard Gardner berserta projek yang dijalankan oleh beliau. Penjelasan tentang kelapan-lapan kecerdasan turut dimuatkan. Sekolah yang menggunakan teori ini turut disertakan.
http://www.dropoutprevention.org/Mi/MainIdea.htm
Laman ini menjelaskan tentang idea utama yang terkandung dalam teori kecerdasan pelbagai. 
http://www.angelfire.com/oh/themidas/eachmi.html
Laman ini bukan sekadar menerangkan tentang ke lapan-lapan kecerdasan tetapi juga mencadangkan aktiviti-aktiviti yang sesuai dan boleh dijalankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
http://www.thirteen.org/wnetschool/concept2class/month1/#2
Laman ini memberi penjelasan tentang Teori Kecerdasan Pelbagai secara umum dan bagaimana teori ini dapat membantu guru dalam merancang pengajaran


KECERDASAN EMOSI MENSTABILKAN DIRI INDIVIDU
Oleh: DR. ISMAIL ZAIN
[Jendela Minda, Titian Mesra: Berita Perak]

MASALAH kegawatan ekonomi, masalah alam sekitar serta masalah peribadi merupakan di antara beberapa faktor yang dapat mempengaruhi "mood" seseorang dalam menjalani tugas harian.
"Mood" ini boleh mengubah peribadi seseorang yang akhirnya dapat menjejas kedudukan dan hubungan mesra antara individu. Mengikut Daniel Goleman (1995) pengarang buku "The Emotional Intelligence", penilaian seseorang individu bukan sahaja diasaskan kepada kecerdasan yang ada pada keintelektualannya (IQ) sahaja tetapi yang lebih penting adalah kecerdasan emosi (EQ) yang ada pada dirinya.
Mengikutnya lagi keceredasan intelek (IQ) tidak dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian diri serta hubungannya dengan masyarakat. Kecerdasan Emosi (EQ) mengikut kajian meninggalkan kesan yang mendalam dalam keseluruhan aspek dalam kehidupan termasuk aspek kesihatan dan sosial.
Dalam bidang pekerjaan mengikut Goleman "... people of high IQ flounder and those of moderate IQ do surprisingly well... Lack of emotional intelligence can sabotage the intellect and ruin careers..." Ini membawa maksud kejayaan diri dalam pekerjaan perlulah juga diimbangi dengan aspek emosi.
Mengikut Daniel, kecerdasan emosi adalah situasi di mana aspek rohaniah perlu diberi keutamaan dalam kehidupan kita terutamanya dalam situasi bekerja. Kecerdasan emosi melibatkan proses:-
·         Kesedaran kendiri (self-awareness)
·         Disiplin kendiri
·         Memahami perasaan dan isi hati orang lain .
·         Mempunyai kemahiran intra dan inter personal yang baik untuk berkomunikasi.
·         Dapat mengawal perasaan
Proses yang disebutkan diatas adalah penting ke arah mewujudkan suasana kerja yang menyeronakkan serta melahirkan masyarakat penyayang.
Ketenangan dan keseronokan adalah merupakan salah satu daripada keperluan asas manusia. Perasaan tenang dan seronok bukan sahaja ingin dikecapi di rumah tetapi juga di tempat kerja. Ini boleh dikecapi melalui suasana mesra yang dapat dijalinkan dalam satu pasukan yang mempunyai semangat kekitaan.
Ungkapan "masyarakat penyayang" serta "masyarakat perihatin" bukan hanya sekadar menanam tebu dibibir mulut atau sekadar memenuhi ruang hiasan di pejabat-pejabat tetapi harus direalisasikan melalui amalan dan tindakan dalam pekerjaan. Kelembutan, ketegasan dan kemesraan dalam menjalankan tugas akan lebih dihormati daripada kekerasan dan paksaan.
Aspek emosi ini tidak memerlukan seseorang itu berpangkat tinggi atau berpelajaran tinggi untuk mencapainya. Ianya dapat dicapai melalui perhubungan yang mesra, bertindak tidak mengikut perasaan, menghormati orang lain, serta menyedari bahawa setiap insan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Setiap kekuatan yang ada pada diri seseorang itu perlulah diperkembangkan dan dihormati manakala setiap kelemahan itu perlulah dibimbing, didorong dan diperbaiki agar dapat memenuhi satu hala tuju yang diingini. Kesemuanya ini perlulah dilakukan dalam suasana yang mesra serta tidak mempunyai tujuan yang negatif disebaliknya.
Sama ada anda seorang boss atau seorang pekerja bawahan sejauhmanakah emosi anda dapat dicerdaskan? Bersama-samalah kita membuat refleksi diri agar keselesaan dan keharmonian di tempat kerja dapat dikekalkan ke arah mencapai masyarakat penyayang.


2 comments:

Ruangan Sembang